LONDON – Malang bertimpa-timpa melanda bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo selepas penyerang Portugal itu ditamatkan kontrak oleh Manchester United pada Selasa lepas, namun sekarang berdepan hukuman digantung dua perlawanan dan didenda £50,000 (RM273,820).
Persatuan Bola Sepak England (FA) membuat keputusan itu gara-gara tindakan kasar penyerang berusia 37 tahun itu yang menghempas telefon bimbit seorang penyokong Everton selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Satu rakaman video tular menunjukkan Ronaldo dilihat marah dan menepis telefon daripada tangan seorang peminat ketika berjalan menuju ke terowong selepas kekalahan Manchester United 1-0 di Goodison Park pada April tahun lalu.
Satu laporan dibuat terhadap Ronaldo selepas tindakan penyerang Portugal tersebut menyebabkan kesan lebam pada tangan dan skrin telefon pecah.
Ronaldo telah diberikan amaran oleh pihak polis pada Ogos lepas dan didakwa atas kelakuan tidak wajar oleh FA pada September lalu. Bagaimanapun, Ronaldo telah memohon maaf atas insiden tersebut di media sosial.
“Penyerang tersebut (Ronaldo) mengakui kesilapannya sejurus berakhir perlawanan antara Manchester United dan Everton, namun tindakan tersebut adalah tidak wajar sama sekali,” kata FA dalam kenyataan.
Penggantungan tersebut terpakai meskipun Ronaldo menyertai pasukan baharu di mana-mana negara, namun tidak terpakai pada Piala Dunia 2022 di Qatar ketika ini.
Kapten Portugal tersebut kini berada di Qatar untuk melakukan persiapan dalam aksi Kumpulan H dan meletakkan sasaran awal melepasi peringkat kumpulan. – AGENSI