fbpx

Rafizi muncul, minta penyokong serta pemimpin elak provokasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi.

KAJANG – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli akhirnya membuat kemunculan selepas membisu sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan pada Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan berkata, beliau menyembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong yang bertitah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang akan mengetuai sebuah kerajaan perpaduan.

Katanya, seperti mana pimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang usaha membentuk kerajaan perpaduan berlangsung, beliau menyeru semua rakyat Malaysia, terutamanya penyokong PKR, PH dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk meredakan keadaan.

“Oleh itu, saya menasihatkan agar tiada sebarang perhimpunan oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan risiko provokasi.

“Berhati-hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh politik,” katanya di sini tadi.

Beliau turut menasihati agar berhati-hati dengan sebarang kandungan di media sosial atau pesanan ringkas yang boleh menimbulkan kerisauan atau dijadikan alasan untuk provokasi.

“Kita semua perlu bergerak ke hadapan dan belajar bekerjasama untuk membina kembali Malaysia, demi masa depan dan kemakmuran setiap rakyat dari semua kumpulan, kaum, negeri dan latar belakang,” ujarnya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ahli Parlimen Tambun itu akan menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada pukul 5 petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI