ROMPIN – “Sabar menanti,” kata ringkas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai pembentukan kerajaan negeri di sini hari ini.
Tanpa menjelaskan bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), Wan Rosdy meminta semua pihak menunggu keputusan yang akan diumumkan kelak.
Tindakan pimpinan BN yang kini menjadi ‘Kingmaker’ terus mengunci mulut menimbulkan pelbagai andaian dalam kalangan rakyat mengenai pembentukan kerajaan negeri yang telah tergantung selama enam hari.
Sebelum ini pimpinan PH yang memenangi lapan kerusi DUN di negeri ini menyatakan sokongan kepada BN serta menyatakan perbincangan mengenai kerjasama dengan BN menunjukkan perkembangan yang positif.
Selepas itu PN yang diketuai Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengorak langkah bertemu dengan Wan Rosdy bagi membincangkan pembentukan kerajaan negeri.
Bagaimanapun setakat ini tiada mana-mana pimpinan parti yang tampil memberikan kenyataan mengenai perbincangan tersebut sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
Tindakan calon PH bersama penyokongnya yang tidak hadir pada proses penamaan calon DUN Tioman di sini hari ini juga menimbulkan spekulasi seolah-olah petanda PH akan menyokong BN dalam usaha membentuk kerajaan negeri.
Pahang mencipta sejarah apabila buat pertama kali gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum yang menyaksikan PN mendapat 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) , BN (16 kerusi) dan Pakatan Harapan mendapat lapan kerusi. – KOSMO! ONLINE