fbpx

Piala Dunia: Sepanyol tunjuk taring belasah Costa Rica

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain-pemain Sepanyol meraikan jaringan Gavi ketika menang 7-0 ke atas Costa Rica pada aksi Piala Dunia di Stadium Al Thumama hari ini.

DOHA – Juara edisi 2010, Sepanyol menunjukkan aksi garang ketika mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas Costa Rica pada saingan Kumpulan E Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama sebentar tadi.

Skuad kendalian Luis Enrique nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi sepenuhnya perlawanan dengan menerapkan permainan hantaran pendek sehingga menyebabkan pasukan Amerika Utara itu lebih banyak berkampung dalam kawasan sendiri.

Pada perlawanan tersebut, Sepanyol tidak menunggu lama apabila hanya memerlukan 11 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang, Dani Olmo yang menyudahkan gerakan berpasukan yang cukup menarik.

Gol itu sememangnya sudah dijangka memandangkan La Roja sudah beberapa kali hampir membuka tirai jaringan dalam 10 minit pertama permainan menerusi aksi ‘tiki-taka’ yang mengelirukan benteng pertahanan lawan.

Kemudian, Marco Asensio menggandakan kedudukan Sepanyol pada minit ke-21 apabila bijak menyambar hantaran yang dilakukan bek kiri, Jordi Alba bagi menewaskan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas.

Sembilan minit berselang, pintu gol Costa Rica bocor lagi apabila Ferran Torres tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas Oscar Duarte menjatuhkan Alba yang cuba melakukan gerakan ke arah pintu gol.

Walaupun cuba melakukan kebangkitan untuk sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol, namun semua serba tidak menjadi buat Costa Rica dan mereka terpaksa berpuas hati ketinggalan tiga gol pada separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Sepanyol langsung tidak mengendurkan asakan ke arah pintu gol lawan dan berjaya menjaringkan gol keempat pada minit ke-54 selepas Torres bijak menghidu peluang ketika situasi kelam kabut di depan pintu gol Costa Rica.

Costa Rica seolah-olah buntu selepas gol keempat itu apabila membenarkan Sepanyol ‘bermaharajalela’ di bahagian tengah padang sehingga menyaksikan wakil Eropah tersebut menguasai permainan lebih 80 peratus.

Ketika perlawanan berbaki kira-kira 15 minit, Sepanyol terus menambah derita Costa Rica apabila menjadikan kedudukan 5-0 hasil jaringan menarik pemain muda, Gavi yang menerima hantaran Alvaro Morata.

Pemain gantian, Carlos Soler dan Morata kemudiannya melengkapkan malam gemilang La Roja apabila menambah dua lagi gol pada penghujung permainan, sekali gus meletakkan Sepanyol sebagai peneraju Kumpulan E – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI