fbpx

Piala Dunia: Semangat belum cukup buat Kanada kejutkan Belgium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG Belgium, Michy Batshuayi meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Kanada pada aksi pertama Kumpulan F sebentar tadi. - AFP

DOHA – Hasrat besar Kanada untuk cipta sensasi pada penampilan sulung di Piala Dunia dalam tempoh 36 tahun tidak kesampaian apabila tewas 1-0 kepada pasukan nombor dua dunia, Belgium di Stadium Ahmad Bin Ali, sebentar tadi.

Walaupun berjaya menampilkan permainan lebih positif berbanding Belgium, aspek pengalaman mungkin menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan namun Kanada wajar menyalahkan diri sendiri kerana gagal menghadirkan jaringan awal menerusi sepakan penalti.

Terdahulu, tonggak tengah Kanada, Atiba Hutchinson yang berusia 39 tahun 288 hari muncul pemain bukan penjaga gol kedua paling tua beraksi di Piala Dunia selepas Roger Milla (Cameroon) yang melakukannya semasa edisi 1994 pada usia 42 tahun 39 hari.

Segalanya seakan sempurna buat Kanada sepanjang tujuh minit awal apabila berjaya menyempurnakan 45 daripada 69 hantaran dan kemuncaknya sebaik memasuki minit ke-9, pengadil bertugas, Janny Sikazwe menghadiahkan penalti buat skuad Les Rouges selepas bola terkena tangan pemain Belgium, Yannick Carrasco.

Bagaimanapun, Thibaut Courtois yang membuat penampilan ke-13 bersama Belgium di pentas Piala Dunia menghadirkan keceriaan buat pasukannya apabila berjaya membaca arah sepakan bintang sensasi Kanada, Alphonso Davies.

Sekalipun tidak beri kesan besar kepada persembahan Kanada, kegagalan Davies itu menambahkan keyakinan buat Belgium untuk tampil lebih berani setiap kali memiliki peluang mengatur serangan.

Ketika aksi babak pertama hampir berakhir tanpa jaringan, minit ke-44, Michy Batshuayi memastikan Belgium berada di depan selepas bijak meloloskan diri daripada kawalan dua pemain lawan sebelum mudah melakukan tolakan untuk menewaskan Milan Borjan.

Keputusan pengurus Belgium, Roberto Martinez memasukkan Thomas Meunier dan Amadou Onana mencetuskan kelainan kepada corak permainan skuad De Rode Duivels namun Kanada kekal dengan sikap positif untuk memburu gol penyamaan.

Menyedari Kanada terus memberikan tekanan dan Belgium perlu menggandakan jaringan, Martinez dilihat mengambil langkah berani apabila memasukkan Leandro Trossard untuk menggantikan Eden Hazard.

Usaha yang dilakukan Kanada tetap berakhir dengan kekecewaan apabila Belgium begitu berdisiplin ketika bertahan malah Courtois beberapa kali bertindak pantas untuk menafikan gerakan lawan. AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI