LUSAIL – Juara lima kali, Brazil sudah berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya menjelang aksi sulung Piala Dunia 2022 menentang Serbia yang akan berlangsung di Stadium Lusail awal pagi esok.
Walaupun dilabelkan sebagai pasukan pilihan, namun skuad Selecao itu enggan mengambil mudah cabaran Serbia kerana ia mampu menjadi musibah buat mereka jika tidak menampilkan aksi terbaik.
Apa yang pasti, pasukan dari Amerika Selatan itu pastinya tidak mahu dibelenggu kekecewaan seperti yang dialami seteru mereka, Argentina selepas tewas mengejut 1-2 kepada Arab Saudi kelmarin.
Penjaga gol Brazil, Alisson Becker percaya, dia dan rakan sepasukan sudah tidak sabar untuk turun beraksi pada kejohanan empat tahun sekali itu dan mendapatkan kemenangan pertama di Qatar.
“Kami berada dalam keadaan sangat yakin ketika ini dan kami masih ada beberapa pemain yang beraksi pada Piala Dunia 2018. Saya tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap pasukan pasti mahukan kemenangan.
“Kami tidak boleh buat kesilapan mudah yang mampu merugikan pasukan kerana Piala Dunia bukanlah kejohanan biasa. Bagaimanapun, kami yakin dengan kemampuan diri untuk berdepan Serbia nanti,” katanya.
Pemain Liverpool itu juga berharap penampilan keduanya pada saingan Piala Dunia membawa tuah buat pasukan untuk memenangi gelaran keenam selepas melakukannya pada 1958, 1962, 1970, 1994 dan 2002.
Selain itu, Alisson menganggap kehadiran keluarganya pasti dapat membantu dia untuk menampilkan aksi terbaik bagi memastikan pintu gol Selecao tidak dibolosi pihak lawan.
“Kami percaya pada kualiti yang dimiliki dan semua pemain dapat rasakan aura berbeza apabila menyarung jersi Brazil. Kami akan turun dengan penuh semangat,” ujarnya.
Brazil dilabelkan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia kali ini berdasarkan senarai pemain yang dibawa termasuk Vinicius Junior, Gabriel Jesus serta bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar. – AGENSI