SHAH ALAM – Perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi pembentukan kerajaan Pahang telah dilakukan sejak malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini beliau telah bertemu sekali dengan Menteri Besar sedia ada daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, perbincangan bukan melibatkan beliau sahaja, malah peringkat pimpinan negeri berhubung kemungkinan gabungan PH dan BN bagi membentuk kerajaan negeri.
“Setakat ini sekali (bertemu), tetapi saya telah menghubungi beliau sejak malam keputusan dan ada perbincangan. Jadi sebab itu saya nampak berjalan dengan baik dan lancar namun tidak mahu uar-uarkan dulu sehingga ada ‘move’ yang positif.
“Semalam dikeluarkan kenyataan (PH Pahang) sebab Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan kenyataan dan foto sebagainya, tetapi kita juga terlibat dengan perbincangan BN supaya kerajaan negeri dapat dibentuk dan diwujudkan dengan kadar segera bagi menjamin kestabilan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Amirudin berkata, secara asasnya PH telah bersetuju Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang dengan beliau dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH telah menghantar sokongan berkaitan kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
“Kita hanya menunggu masa menghadap dan perkenan Pemangku Raja Pahang dengan menawarkan kestabilan negeri dan pentadbiran menerusi wakil Melayu, Cina dan India. Saya harap dapat dilaksanakan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Besar Selangor menjelaskan keserasian yang akan diwujudkan antara Pahang dan Selangor turut memberikan kelebihan dari segi bekalan air.
“Ini disebabkan Selangor menerima bekalan air dari Pahang untuk Lembangan Sungai Air Langat 2 dan sudah pasti ada perkara-perkara perlu diuruskan dengan baik. Sebelum ini (hubungan) berjalan dengan baik dan kalau lebih rapat lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE