KUALA LUMPUR – “Alhamdulillah pendarahan paru-parunya (Nad Zainal) semakin berkurangan.”
Itu antara perkongsian bapa kepada pelakon Nad Zainal, Zainal Abidin mengenai perkembangan situasi anak tunggalnya yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital KPJ Ampang Puteri sejak tiga hari lalu.
Meskipun pendarahan semakin berkurangan, Zainal memberitahu anaknya masih menerima pemantauan rapi oleh pihak hospital.
“Dua hari lepas memang keadaannya teruk termasuk dengan pendarahan pada paru-paru namun hari ini dia menunjukkan perkembangan positif.
“Harap keadaan positif itu berterusan cuma ketika ini dia masih berlawan dengan ubat,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.
Dalam masa sama, dia juga berharap bintang drama Takdir Yang Tertulis itu akan segera sembuh dan tidak memerlukan alat bantuan penafasan lagi.
“Semuanya berpunca disebabkan pendarahan paru-paru sehingga dia sukar untuk bernafas.
“Apa pun, harap Nad terus kuat dan terima kasih atas semua doa yang dikirim untuknya,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Zainal memberitahu dia merupakan individu yang membawa Nad ke hospital selepas anaknya itu memaklumkan mengalami sakit dada.
“Saya jumpa dia di rumah dan uruskannnya dengan menaiki ambulans pada Isnin lalu.
“Nad ada mengadu sakit dada tetapi mungkin dia anggap tidak serius dan akan sembuh.
“Ini juga pertama kali dia mengalami sakit teruk. Dia pernah dijangkiti Covid-19 tetapi tidak teruk begini,” ujarnya.
Semalam, Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, dilaporkan kritikan susulan pendarahan pada bahagian paru-paru.
Teman rapatnya, Ungku Ismail juga memaklumkan doktor mengesyaki Nad mengalami penyakit autoimun.
Sebelum ini, Nad pernah dijangkiti Covid-19 sekitar Mac lalu namun tidak mengalami sebarang gejala yang teruk.
Sejak semalam, nama Nad menjadi bualan ramai termasuk dalam kalangan selebriti yang tidak berhenti mendoakan kesihatannya. – KOSMO! ONLINE