PETALING JAYA – Orang ramai kini mula mempersoalkan sama ada esok akan diberikan cuti peristiwa atau tidak sempena pengumuman calon Perdana Menteri ke-10.
Tinjauan Kosmo! di platform media sosial mendapati #PublicHoliday telah sohor kini di Twitter, rata-rata orang ramai masih menanti jawapan dan pengumuman tentang cuti umum tersebut.
“Akhirnya tamat sudah drama politik dalam negara yang berakhir dengan khabar gembira untuk kemaslahatan Malaysia. Soalan saya, bilakah cuti umum akan diberikan kepada kami yang gigih mengundi?,” ciap @Nasrul di Twitter.
“Tahniah Datuk Seri Anwar Ibrahim, teruskan usaha anda untuk menjadi pemimpin yang terbaik dengan mengumumkan esok sebagai cuti umum,” ciap @Intannism.
“Perdana Menteri pun kita sudah tahu, dalam keadaan ini, apa kata isytiharkan esok adalah cuti umum untuk tempoh bertenang,” tulis pengguna Twitter itu.
Dalam pada itu, terdapat juga rakyat Malaysia yang menuntut cuti umum tersebut sebagai tempoh buat rakyat Malaysia untuk berehat dan bertenang selepas pelbagai kekalutan yang berlaku dalam landskap politik negara.
“Buatlah pengumuman cuti umum esok, saya merayu, kita layak menerima cuti umum selepas penat mengundi dan memilih pemimpin negara,” tulis pengguna Twitter yang lainnya.
“Persoalan ketua negara sudah terjawab, jadi masih adakah harapan untuk kita semua mendapat cuti umum? Kita perlu ‘escape’ sekejap untuk tempoh bertenang,” ciap @kunszej.
Sebelum ini, rakyat Malaysia terpaksa menerima hakikat dan reda apabila tiada sebarang pengumuman cuti umum yang diharapkan berlaku pada Isnin lalu.- KOSMO! ONLINE