fbpx

MSAM 2022 terap elemen kelestarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arifin melawat tapak pameran MSAM 2022 di Port Dickson, hari ini. - Foto MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerapkan elemen kelestarian pada Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2022 selaras dengan tema pada tahun ini ‘Melestarikan Pelaburan Ke Arah Masa Hadapan Mampan’.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Ariffin Zakaria berkata, tema tersebut bertepatan dengan aspirasi PNB bagi menyokong penciptaan nilai mampan sejak ditubuhkan dan seiring dengan komitmen PNB di bawah Rangka Kerja Kelestarian yang diperkenalkan pada bulan April lalu.

“Bersesuaian dengan tema ini, MSAM 2022 telah menerapkan elemen kelestarian antaranya memasang panel solar yang menjana elektrik di laluan koridor khemah lutsinar untuk mengurangkan penggunaan elektrik dan tadahan air hujan di sekitar tapak ini.

“Di samping itu, semua sisa pepejal akan dilupuskan di Tapak Pelupusan Dengkil Inert Waste Landfill dan boleh menjana sehingga 2.0 Megawatt tenaga elektrik untuk penggunaan dosmetik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian MSAM 2022 di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, Port Dickson di sini hari ini.

Menurut Ariffin, pengunjung berpeluang menerima ganjaran apabila mengitar semula botol plastik dan tin aluminium ke dalam bekas ‘Bin-Less and Earn’ yang disediakan berhampiran pintu keluar dewan pameran.

“Kami berharap agar usaha ini akan menggalakkan orang ramai untuk terus mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian dan menjadi lebih prihatin kepada alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, MSAM yang dianjurkan pada setiap tahun sejak 2000 telah menarik lebih 3.9 juta pengunjung atau hampir 200,000 pengunjung setiap tahun.

“Untuk MSAM 2022, PNB menyasarkan penyertaan 150,000 orang pengunjung khususnya dari sekitar Negeri Sembilan dan lokasi berdekatan lain,” katanya.

Acara literasi kewangan tahunan yang bakal berlangsung selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 November itu turut disertai oleh syarikat strategik PNB termasuk Maybank Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd.

MSAM 2022 kali ini menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia serta agensi kerajaan negeri.

Tambah Ariffin, para pengunjung juga berpeluang merebut pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM1 juta untuk dimenangi.

Antara hadiah utama yang disediakan adalah sebuah kereta elektrik Hyundai Kona Electric Lite bernilai lebih RM156,000; sebuah kereta elektrik Toyota Corolla Cross Hybrid Electric bernilai hampir RM140,000; sebuah Perodua Alza 1.5 AV berharga RM75,500; sebuah motosikal Yamaha MT-25 berharga RM21,500 dan enam buah motosikal Yamaha 135 LC FI selain pelbagai hadiah menarik termasuk barangan elektrik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI