SEREMBAN – Suspek wanita warga Vietnam dikatakan menjalin hubungan cinta selama 10 tahun dengan mangsa lelaki tempatan yang mayatnya ditemui dengan kesan kecederaan di sebuah apartmen di Taman Bukit Delima di sini.
Satu sumber berkata, setakat ini, motif kejadian melibatkan mangsa berusia 50 tahun dan suspek berusia 33 tahun adalah disebabkan cemburu.
“Siasatan awal mendapati mereka merupakan pasangan kekasih dan menjalin hubungan cinta selama 10 tahun.
“Suspek dipercayai mempunyai hubungan dengan lelaki lain menyebabkan mangsa cemburu,” katanya semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof memberitahu, pihaknya sudah merakam keterangan seramai enam saksi termasuk jiran mangsa bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan kesan luka pada rusuk kanan dipercayai akibat ditikam di sebuah apartmen di Taman Bukit Delima pada Ahad lalu.
Sebelum itu, mangsa dikatakan bergaduh dengan seorang wanita yang juga suspek.
Mayat mangsa dijumpai pada pukul 9.30 malam dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah tersebut.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, polis mendapati seorang wanita dalam keadaan panik dan sedih di dalam rumah tersebut. Suspek direman tujuh hari sehingga 28 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE