KOTA BHARU – Kos bagi projek bekalan air bersih di Kelantan meningkat sebanyak RM5 bilion sekali gus menyebabkan kelewatan daripada aspek pelaksanaannya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perbelanjaan bagi projek bekalan air di Kelantan sebelum ini berjumlah RM2 bilion dan kini meningkat kepada RM7 bilion.
Katanya, bagaimanapun, projek bekalan air bersih di negeri ini bukan satu kegagalan, namun ia melibatkan masalah dalam aspek pelaksanaan.
“Masalah bekalan air di Kelantan bermula sejak 1990. Sepanjang tempoh 32 tahun, banyak usaha dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah tersebut terutamanya membabitkan peruntukan.
“Kerajaan negeri telah bersetuju dengan langkah migrasi air ke Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dengan peruntukan RM2 bilion. Selepas menandatangani perjanjian itu, peruntukan tidak turun ke Kelantan.
“Pada tahun ini, perbelanjaan diperlukan bagi menyelesaikan masalah air meningkat sebanyak RM5 bilion berbanding jumlah asal,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Adhan Kechik (Barisan Nasional) pada sidang DUN di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga ADUN Panchor memberitahu, meskipun mendapat kelulusan jumlah peruntukan itu, usaha penyelesaian masalah pasti akan mengambil masa kerana masalah bekalan air bersih di negeri telah berlarutan terlalu lama.
Katanya, bagaimanapun, usaha untuk melaksanakan air bersih tidak akan berlarutan sehingga 20 atau 30 tahun.
“Oleh itu, perlu ada hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Masalah peruntukan tidak diperoleh ini seperti kita tahu betul-betul masalah politik. Kerana itu perlu perbetulkan masalah politik ini bagi memudahkan usaha menyelesaikan masalah air.
“Kerajaan negeri sentiasa menjalankan usaha berterusan bagi menyelesaikan masalah berkenaan sekiranya Kerajaan Persekutuan bersikap lebih terbuka,” katanya. – KOSMO! ONLINE