fbpx

Enam negeri dijangka bubar DUN serentak selepas Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin.

SHAH ALAM – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri dijangka dibuat selewat-lewatnya selepas Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan akan dilakukan bersama Menteri Besar, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat dijalankan serentak.

Menurut beliau, ini bagi memastikan kos mengadakan PRN tidak tinggi.

“Kita pada asasnya bersetuju walaupun tidak rasmi adalah untuk membubarkan bersama-sama. Ini sedikit sebanyak bagi menjamin pilihan raya yang lebih cepat dan sekiranya dibuat asing, kos akan bertambah.

“Kita akan tengok dulu keadaan kerajaan persekutuan, cuaca dan sebagainya. Saya tidak boleh sebut bayangan (tarikh khusus bubar), tetapi kemungkinan sampai selepas hari raya agak besar. Namun, kita akan lihat dan tertakluk kepada perbincangan dengan negeri lain,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada perbincangan dilakukan antara Selangor dan lima negeri lain mengenai pembubaran serentak DUN.

Amirudin yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor turut memaklumkan asas enam negeri termasuk Selangor tidak membubarkan DUN sebelum ini juga disebabkan ada perbincangan secara tidak rasmi mengenainya.

Tambah beliau, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengadakan PRN bagi enam negeri tersebut sekali gus adalah amat baik.

“Ini bukan masalah menang, kalah, peluang dan siapa nak gulung siapa. Ini masalah sebahagiannya sebab kos dengan pegawai kita seperti SPR.

“Kalau SPR dapat kawal enam sekali gus sangat baik. Kalau kena buat tiap-tiap bulan ada pilihan raya ia akan mengambil kos tinggi dan bagi saya akan menghilangkan fokus kepada negara yang berdepan cabaran besar pada tahun depan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI