fbpx

100 buah pulau ’dara’ di Indonesia akan dilelong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEPULAUAN itu terletak di kawasan Segitiga Terumbu Karang, timur Indonesia. - Lelong Concierge Sotheby

JAKARTA – Sekumpulan pulau yang tenang di Bali, Indonesia akan dijual dalam salah satu jualan hartanah paling menarik di Benua Asia, lapor laman berita Wion News semalam.

Kawasan kepulauan dikenali sebagai Widi Reserve itu mempunyai lebih 100 pulau yang terletak di timur Indonesia di kawasan Segitiga Terumbu Karang seluas lebih 85,000 hektar.

Undang-undang Indonesia tidak membenarkan pemilikan persendirian sesebuah pulau tetapi, pegangan dalam perniagaan dengan hak pembangunan boleh dijual kepada sesiapa sahaja.

Naib Presiden Eksekutif untuk Eropah, Asia Barat dan Afrika (EMEA), dalam Lelongan Concierge oleh firma Sotheby’s menjangkakan bidaan untuk kepulauan itu adalah jelas.

“Semua bilionair boleh memiliki pulau persendirian tetapi hanya seorang sahaja yang boleh merebut peluang eksklusif ini untuk pemilikan lebih 100 pulau,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Mencerminkan kebimbangan untuk melindungi habitat akuatik yang sensitif dari segi ekologi, portal lelongan itu berkata, pusat Pemuliharaan Rizab Widi ‘akan mengetuai program penyelidikan canggih termasuk penandaan, pengesanan dan pemantauan spesies ikonik dan terancam kritikal’.

Widi Reserve membentuk rangkaian pulau tropika yang dikelilingi 150 kilometer pantai pasir putih, terumbu karang yang berkembang pesat, perairan peribadi dan laut dalam yang kaya dengan nutrien.

Rantaian pulau itu merupakan salah satu ekosistem atol (terumbu karang berbentuk cincin) paling utuh dan dihuni beratus-ratus spesies jarang ditemui dan terancam termasuk Paus Biru, Jerung Paus, 600 spesies mamalia marin, ikan, burung, serangga dan biawak serta spesies yang belum didokumentasikan.

Kepulauan itu hanya boleh diakses menggunakan pesawat persendirian dalam perjalanan selama 2.5 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali.

Lelongan itu akan bermula pada 8 Disember sehingga 14 Disember ini. Tiada harga terendah ditetapkan, tetapi pembida diminta membayar deposit AS$100,000 (RM453,600) sebagai bukti mereka serius. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI