GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kelmarin bahawa pihaknya akan menerbitkan senarai patogen utama yang perlu diawasi kerana berisiko mencetuskan wabak atau pandemik.
Patogen merujuk kepada agen penyebab penyakit seperti bakteria, virus dan mikroorganisma lain.
WHO berkata, tujuannya adalah untuk mengemas kini senarai sedia ada yang digunakan sebagai panduan dalam penyelidikan dan pembangunan global serta pelaburan, khususnya aspek vaksin, ujian dan rawatan.
Sebagai sebahagian daripada proses yang bermula pada Jumaat lepas itu, WHO mengadakan pertemuan lebih 300 saintis yang akan menganalisis lebih 25 keluarga virus dan bakteria.
Mereka juga akan menilai ancaman Penyakit X iaitu sejenis patogen misteri yang boleh mencetuskan pandemik antarabangsa.
“Menyenaraikan patogen dan keluarga virus utama untuk tujuan penyelidikan dan membangunkan langkah kawalan adalah penting bagi menyediakan tindak balas epidemik serta pandemik yang berkesan.
“Tanpa pelaburan signifikan dalam kedua-dua aspek sebelum pandemik Covid-19, adalah mustahil untuk kita membangunkan vaksin yang selamat lagi efektif dan dalam masa sungguh singkat,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan.
Senarai berkenaan pertama kali diterbitkan dalam tahun 2017.
Senarai sama pada masa ini turut merangkumi Covid-19, virus penyakit Ebola dan Marburg, demam Lassa, Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Nipah, Zika serta Penyakit X.
Bagi setiap patogen yang dianggap penting, pakar-pakar akan mengenal pasti keutamaan penyelidikan dan jurang pengetahuan.
Langkah seterusnya adalah untuk membangunkan spesifikasi vaksin, rawatan dan ujian diagnostik.
Senarai WHO yang dikemas kini itu dijangka diterbitkan sebelum April 2023. – AFP