PETALING JAYA – Pembuat upholsteri kulit automotif, Pecca Group Berhad (Pecca) telah mencatat keuntungan bersih suku pertama yang paling mantap dalam tempoh Julai-September 2022, didorong oleh segmen sarung tempat duduk kereta upholsteri OEM yang mana jualan melonjak hampir empat kali ganda.
Pecca, yang turut menikmati margin keuntungan bersih dua angka yang kukuh iaitu sebanyak 15.2 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1STK23), menjangkakan momentum pertumbuhannya akan berterusan pada suku akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Foo Ken Nee berkata, ini kerana pelanggan automotif utamanya termasuk Perodua, Proton, Nissan, Toyota, Peugeot dan Volkswagen mencatat tempahan jualan kereta yang mantap.
“Oleh itu, Pecca akan kekal sebagai penerima manfaat utama permintaan yang kukuh itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam 1STK23, keuntungan bersih Kumpulan melonjak lebih 16 kali ganda kepada RM8.35 juta berbanding RM503,000 pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Hasil juga meningkat sebanyak 140.7 peratus tahun ke tahun kepada RM54.86 juta pada suku pertama.
Ken Nee menerangkan, peningkatan yang memberangsangkan dalam hasil dan keuntungan disumbangkan terutamanya oleh volum jualan yang lebih tinggi yang telah dicapai dalam segmen automotif berbanding tempoh operasi yang dipendekkan dalam suku yang sama tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.
Segmen sarung tempat duduk kereta upholsteri OEM, yang menyumbang kira-kira 84 peratus daripada jumlah hasil untuk sarung kerusi kereta, menyaksikan hasilnya meningkat kepada RM37.3 juta pada 1STK23 berbanding RM9.35 juta setahun sebelumnya. -KOSMO! ONLINE