PETALING JAYA – Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ingin fokus penulisan sejarah dan aktiviti negara selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November lepas.
Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri dua kali, berkata, meskipun beliau sedih, namun menerima pilihan rakyat dengan hati terbuka.
“Saya berharap pihak yang menang akan mendirikan kerajaan Malaysia, dan berdoa pihak tersebut akan dapat pulihkan negara daripada segala masalah yang dihadapi.
“Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan dengan sejarah dan aktiviti dalam negara kerana banyak peristiwa yang berlaku belum pun direkodkan lagi, termasuk apa yang berlaku di zaman British,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksa digugurkan berikutan Pejuang kalah dalam semua 125 kerusi sekaligus tidak dapat menjadi pembangkang dalam dewan negara.
Mahathir juga berkata, apa yang boleh dilakukan oleh Pejuang sekarang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang.
Beliau juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis-penulis di Malaysia bagi tujuan aktiviti penulisan. – KOSMO! ONLINE