PETALING JAYA – Drama rantaian terbaharu lakonan Nad Zainal berjudul Cina Buta sepatutnya ditayangkan hari ini ditunda ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Dalam satu kenyataan yang dibuat pihak penyiar iaitu Astro, keputusan tersebut diambil berikutan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
Justeru, slot MegaDrama Astro Ria malam ini akan digantikan dengan drama Dia Yang Ku Jadikan Suami lakonan Anna Jobling dan Malek Mccrone.
“Atas perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan drama terkini Astro Ria iaitu Cina Buta akan ditunda. Tarikh baharu akan kami umumkan kelak.
“Sementara itu, hiburan untuk para pelanggan Astro diteruskan dengan drama Dia Yang Ku Jadikan Suami untuk slot Megadrama mulai 23 November ini jam 10 malam. Segala kesulitan amat kami kesali” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, Nad Zainal mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, terpaksa ditidurkan selama dua hari selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar Ampang Puteri.
Dalam perkembangan terbaharu, ibu tunggal anak dua yang mengalami pendarahan paru-paru itu dilaporkan sedang kritikal.
Sementara itu, pengarah dan penerbit Shahrulezad Mohameddin memohon maaf atas penangguhan drama itu buat kali kedua.
“Atas sebab yang tidak dapat dielakkan kita terpaksa tunda drama itu buat kali kedua.
“Harap terus bersabar. Jangan tanya saya sebab apa ya. Saya lagi risaukan keadaan Nad Zainal sekarang. Mohon doa dari semua orang” ujarnya.
Drama Cina Buta dibintangi oleh Nad Zainal bersama Ungku Ismail dan Aliff Aziz mengisahkan tentang amalan ‘cina buta’ yang sering dikaitkan dengan cara menyelamatkan perkahwinan yang sudah berakhir dengan talak tiga. – KOSMO! ONLINE