PETALING JAYA – Pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), melancarkan kempen sosial, ‘STEM it up!’ hari ini, bertujuan untuk menghapuskan stereotaip negatif terhadap subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama Shell MDS (M) Sdn. Bhd itu berhasrat mewujudkan kesedaran tentang pendidikan STEM yang terdiri daripada Science (Sains), Technology (Teknologi), Engineering (Kejuruteraan) dan Mathematics (Matematik).
Naib Presiden Shell MDS (M) Sdn. Bhd, Amir Hamzah, berkata, pengaruh sosial memainkan peranan penting bagi meningkatkan minat dalam bidang STEM dalam kalangan pelajar, ibu bapa, ahli keluarga, dan rakan sebaya.
“Peranan ibu bapa sememangnya merupakan sumber inspirasi dan pembakar semangat dalam mempengaruhi perjalanan akademik anak-anak mereka,” katanya dalam majlis pelancaran kempen tersebut.
Sementara itu, STEM it up! disertai oleh 135 peserta bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang kerjaya khususnya dalam kalangan pelajar berumur 13 hingga 22 tahun, ibu bapa dan individu yang ingin bekerja dalam bidang berkaitan STEM.
Majlis pelancaran yang telah dijalankan secara atas talian, turut dihadiri oleh Pengurus Perhubungan Awam Shell MDS Sdn. Bhd, Adriana Jute, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar dan Timbalan Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, USM, Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh.
Sepanjang kempen ini berlangsung, pelbagai acara akan diadakan seperti STEM Safe Space, STEMreotypes Growing Minds, STEM Quest, Journey with STEM, STEM Xplore dan STEM Challenge. – KOSMO! ONLINE