fbpx

Sindiket samun warga asing menyamar pegawai polis tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Shuhaily ketika sidang akhbar mengenai tangkapan sembilan suspek samun dan rampasan barangan kes di IPK Pulau Pinang, George Town di sini hari ini. IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kegiatan sindiket samun melibatkan warga asing yang menyamar sebagai pegawai polis selepas menahan sembilan suspek di Jalan Penang di sini 15 November lalu.

Suspek terdiri seorang lelaki tempatan bersama lapan warga Filipina termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa samun iaitu lelaki warga Bangladesh yang mengalami kerugian sebanyak RM14,800 pada 13 November lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek mula bergiat aktif dalam jenayah samun sejak tahun ini dan mensasarkan mangsa terdiri daripada warga asing di negeri ini, Kuala Lumpur dan Melaka.

“Kesemua suspek warga asing itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan memasuki negara ini menggunakan visa pelancong. Mereka ini juga ada yang menggunakan modus operasi menyamar sebagai pegawai polis.

“Malah, mereka turut menyewa dua buah kereta untuk menjalankan kegiatan jenayah samun tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beritahunya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,265 dan mata wang asing Peso berjumlah 5,840 bersama 13 buah telefon bimbit, 33 keping kad bank dan dua keping pasport.

Jelas Mohd. Shuhaily lagi, menerusi tangkapan tersebut pihaknya juga percaya dapat menyelesaikan 10 kes samun melibatkan warga asing iaitu masing-masing tujuh di negeri ini, dua kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Melaka dengan melibatkan kerugian sebanyak RM42,600.

Dalam pada itu katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati kesemua mereka negatif dadah manakala hanya suspek warga tempatan sahaja mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama 10 hari sehingga esok mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI