LONDON – Seekor rubah menyelinap masuk ke dalam sebuah rumah milik seorang wanita di Essex, England dan menyelongkar pelbagai jenis barangan sebelum tertidur di dapur, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Sebelum kejadian tersebut, wanita berkenaan, Emma Slade, 39, membiarkan pintu terbuka bagi membolehkan anjingnya pergi ke taman tetapi dia mendengar bunyi dentuman dan menyangka bahawa bunyi tersebut dibuat oleh anak perempuannya pada waktu malam.
Bagaimanapun, selepas memeriksa keadaan, Slade mendapati pelbagai jenis barangan di rumahnya berada dalam keadaan bersepah.
Namun, wanita tersebut akhirnya mendapati terdapat seekor rubah sedang tidur di dapur rumahnya sebelum teman lelaki anak perempuannya berjaya membawa keluar haiwan tersebut dari kediaman itu.
Tiada kerosakan yang dilakukan oleh haiwan tersebut tetapi ia meninggalkan banyak najis menyebabkan Slade memerlukan masa selama lebih dua jam untuk membersihkan rumahnya. – Agensi