fbpx

PM Ke-10: Istana Negara terus jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana sekitar pekarangan Pintu 2 Istana Negara di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Memasuki hari keempat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Istana Negara terus menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia bagi menantikan perkembangan kemelut politik terkini.

Setakat pukul 8 pagi, tinjauan Kosmo! di sini mendapati kira-kira lebih 50 pengamal media sudah berkumpul di pekarangan Pintu 2 Istana Negara.

Ia susulan seramai 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara individu pada pukul 10.30 pagi ini.

Bagaimanapun, semalam, pimpinan BN menyatakan agar perkara tersebut ditangguhkan berikutan masih banyak perkara yang belum diteliti selain tetap dengan pendirian untuk tidak memihak kepada sesiapa.

Sehingga pagi ini, masih tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Pihak Istana Negara berkenaan penangguhan sesi menghadap tersebut.

Untuk rekod, Dewan Tertinggi BN juga telah memutuskan bahawa tiada mana-mana Ahli Parlimennya memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Ke-10.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menitahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin menghadap pukul 4.30 petang semalam.

Namun, Seri Paduka Baginda masih belum membuat sebarang keputusan berhubung calon Perdana Menteri ke-10, lalu memberikan tempoh masa untuk gabungan parti mewujudkan Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu disebabkan, tiada ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI