DOHA – Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique akan mengetepikan sentimen ‘kekeluargaan’ dalam memilih kesebelasan utama menjelang aksi pertama Piala Dunia 2022 menentang Costa Rica pada saingan Kumpulan E tengah malam ini.
Sebagai rekod, anak perempuan Enrique, Sira Martinez sedang menjalani hubungan cinta dengan penyerang skuad La Roja, Ferran Torres, sekali gus ‘memudahkan’ pemain skuad Barcelona itu diserapkan dalam kesebelasan utama nanti.
Namun, Enrique menafikan ada memberi layanan istimewa kepada Torres meskipun telah bergurau bahawa pemain berusia 22 tahun itu menjadi nama pertama yang diletakkan dalam senarai kesebelasan terbaik bertemu Croatia nanti.
“Jika ditanya mengenai kesebelasan utama, sudah tentu saya akan senaraikan Torres kerana jika tidak anak saya (Martinez) akan marah keputusan dibuat tetapi ini hanyalah gurauan.
“Saya jurulatih profesional dan tahu membezakan sentimen keluarga dengan pasukan dan siapa sahaja diturunkan nanti, wajib berikan yang terbaik di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Torres menjangka Costa Rica bakal memberi aksi yang sukar buat barisan pemain dengan taktikal bertahan sepanjang perlawanan.
“Saya percaya jurulatih ada perancangan tersendiri dengan mengekalkan corak penguasaan bola. Namun, kita boleh lihat pasukan lawan mempunyai taktikal bertahan dan agak kompak di posisi pertahanan.
“Justeru, saya harap pemain perlu bijak mencari ruang dan menggunakan peluang sebaiknya untuk membantu pasukan melakar kemenangan,” katanya.