DOHA – Pasukan Belgium enggan status selaku ‘skuad emas’ memberikan tekanan, sebaliknya berusaha untuk fokus menjelang aksi pembukaan Kumpulan F menentang wakil Amerika Utara, Kanada di Stadium Al Rayyan awal pagi esok.
Pandangan tersebut disuarakan oleh ketua jurulatih The Red Devils, Roberto Martinez yang mahu pasukan kekal tenang dengan memberi tumpuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan sebelum memikirkan peringkat yang lebih tinggi.
Kata Martinez, label ‘generasi emas’ itu sudah diberikan cukup lama memandangkan pasukannya memiliki ramai pemain berkelas dunia seperti Romelu Lukaku, Kevin de Bruyne dan Thibaut Courtois.
“Kita boleh lihat pasukan ini sudah dibentuk lebih enam tahun bersama tetapi itu tidak bermakna kami boleh bermain sambil lewa meskipun harus diakui pengalaman mematangkan barisan pemain.
“Cuma, prestasi pasukan pada dua aksi terakhir tidak memberangsangkan dan saya harap tumpuan penuh diberikan perlawanan menentang Kanada nanti.
“Mengenai kesebelasan utama, saya hanya boleh sahkan kami akan beraksi tanpa kelibat Romelu Lukaku, manakala posisi lain saya belum boleh putuskan siapa yang bakal beraksi,” katanya.
Sementara itu, kapten Belgium, Eden Hazard mengakui barisan pemain meletakkan sasaran tinggi untuk menjuarai trofi Piala Dunia 2022 di Qatar kali ini.
“Barisan pemain cukup semangat kerana mereka tahu ini adalah peluang terakhir untuk menjuarai trofi antarabangsa selepas dilabel generasi emas hampir 10 tahun lamanya,” kata tonggak Real Madrid itu. – AGENSI