DOHA – Pengendali Kanada, John Herdman mulakan perang psikologi dengan mendakwa beberapa pemain utama pasukan tidak cergas untuk mengharungi aksi pertama Kumpulan F saingan Piala Dunia 2022 menentang Belgium awal pagi esok.
Menurut Herdman, ramalan kesebelasan utama masih belum dapat didedahkan kerana tahap kecergasan tonggak penting seperti Alphonso Davies, Milan Borjan, Stephen Eustaquio masih lagi dalam proses penilaian pegawai perubatan.
“Davies masih lagi belum berada pada tahap kecergasan yang kita mahukan dan situasi ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan selepas dia mengalami kecederaan hamstring ketika mewakili Bayern Munich bulan lalu.
“Justeru, saya masih belum dapat mengesahkan sama ada dia dapat diserapkan dalam kesebelasan utama bertemu Belgium atau sebaliknya dan situasi sama yang dihadapi oleh Borjan serta Eustaquio,” kata Herdman.
Sementara itu, penyerang utama Kanada, Jonathan David optimis barisan pemain memiliki keupayaan untuk mencipta kejutan dengan mencuri mata berharga ketika bertemu The Red Devils nanti.
“Saya rasa tiada apa yang mustahil dalam arena bola sepak antarabangsa khususnya pada kejohanan Piala Dunia yang mana pasukan pilihan sering dikejutkan dengan negara kurang ternama.
“Justeru, saya harap kita juga mampu melakukan perkara yang sama meskipun di atas kertas, Belgium memiliki skuad yang cukup berkualiti tetapi pasukan kami juga apa kurangnya,” kata pemain kelab Lille itu.
Kali terakhir Kanada bermain pada saingan Piala Dunia adalah edisi 1986 di Mexico. – AGENSI