fbpx

Piala Dunia: Jepun tidak anggap gempur Jerman misi ‘hidup mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Jepun tiba di pusat latihan Al Sadd SC untuk menjalani latihan menjelang aksi menentang Jerman pada Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Antarabangsa Khalifa malam ini. – AFP

DOHA – Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu enggan melabel perlawanan pertama Piala Dunia 2022 menentang Jerman sebagai misi ‘hidup mati’ pasukan dalam usaha mara ke pe­ringkat kalah mati pada kempen di Qatar kali ini.

Sebagai rekod, skuad Samurai Biru layak ke pentas akhir Piala Dunia sebanyak tujuh kali dalam sejarah dengan pencapaian cemerlang pada edisi 2018 untuk mara ke pusingan 16 terbaik sebelum tewas tipis 2-3 kepada Belgium.

Kata Moriyasu, aksi bertemu Jerman cukup penting buat pasu­kan tetapi pada masa sama, peluang untuk pasukan mara ke pusingan seterusnya tetap ada walau apa sahaja keputusan diraih ketika menentang Die Mannschaft nanti.

“Pada setiap kejohanan, aksi pertama adalah paling pen­ting kerana jika keputusan yang diraih boleh dianggap sebagai langkah kanan, ia akan memberikan momentum positif tetapi harus diakui apa sahaja boleh berlaku di atas padang dan ia tidak akan menjejaskan semangat pasukan.

“Kita akan mengharungi tiga perlawanan pada peringkat kumpulan dan jika gagal mengutip sebarang mata sewaktu bertemu Jerman, mungkin kita boleh layak ke pusingan sete­rusnya dengan keputusan positif pada dua aksi berikutnya,” katanya.

Sementara itu, bintang muda Jepun yang juga pemain kelab Brighton, Kaoru Mitoma percaya pasukan kali ini adalah yang terbaik pernah beraksi pada kempen Piala Dunia dengan gabungan kombinasi pemain muda dan senior.

“Saya rasa kami memiliki skuad yang seimbang kerana masih ada ramai pemain berpengalaman yang dibawa selain beberapa tonggak muda seperti saya, Ritsu Doan dan Takefusa Kubo untuk membantu pasukan mencapai sasaran ditetapkan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI