DOHA – Kapten Wales, Gareth Bale menjadi wira pasukan itu apabila menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 menentang Amerika Syarikat (AS) pada aksi Kumpulan B saingan Piala Dunia 2022 di Stadium Al Rayyan awal pagi semalam.
Bale yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman The Dragons itu tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82, sekali gus memadam gol pendahuluan yang dijaringkan Timothy Weah.
Ketua jurulatih Wales, Rob Page nyata gembira dengan ketenangan yang ditunjukkan Bale ketika mengambil sepakan penalti selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan lawan, Walker Zimmerman.
“Ketika dia (Bale) dijatuhkan dalam kotak penalti, saya yakin sejuta peratus dia tidak akan mengecewakan kami. Saya sangat lega apabila sepakan penalti tersebut menerjah jaring dan Bale sekali lagi menjadi penyelamat.
“Saya tidak kisah mengenai prestasinya bersama kelab kerana dia sentiasa menjadi pemain terbaik kami apabila menyarung jersi Wales. Mungkin ramai orang terkejut dengan prestasinya,” katanya.
Sementara itu, Bale gembira kerana dapat membantu pasukan mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata walaupun sedikit kecewa kerana Wales gagal untuk memulakan saingan Piala Dunia dengan kemenangan.
“Satu perasaan yang cukup menggembirakan kerana dapat jaringkan gol hari ini (semalam), namun saya lebih gembira jika kami dapatkan tiga mata. Semua pemain beraksi sangat baik dan saya bangga dengan mereka,” ujarnya. – AGENSI