KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan 1,500 permohonan melalui Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. membabitkan pinjaman sebanyak RM100 juta dalam tempoh setahun melalui pakej pinjaman peribadi bagi tujuan menunaikan haji, umrah dan ziarah.
Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd. Rashid berkata, skim pembiayaan peribadi itu disediakan khas oleh BSN untuk memberi peluang kepada kakitangan kerajaan yang mempunyai keupayaan membayar ansuran bulanan secara berstruktur dan mempunyai niat melaksanakan ibadah haji dan umrah selain ingin mengikuti pakej ziarah bersama Andalusia Travel & Tours.
“Mereka boleh mendapatkan pembiayaan di bawah skim Islamik BSN MyRinggit-i dengan RM10,000 sehingga RM200,000 dengan tempoh minimum dua sehingga 10 tahun.
“Pembiayaan yang ditawarkan adalah untuk bayaran pakej ibadah berserta duit perbelanjaan sewaktu mengerjakan ibadah,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama BSN dan Andalusia Travel & Tours di sini semalam.
Beliau juga memaklumkan BSN adalah satu-satunya bank yang menawarkan pembiayaan peribadi bagi tujuan aktiviti haji, umrah dan ziarah dengan kadar yang kompetitif.
“Sempena dengan pelancaran pakej terbaru ini, pelanggan berpeluang menikmati kadar menarik serendah 2.52 peratus tertakluk terma dan syarat. Kadar istimewa ini adalah khas kepada pelanggan yang memohon sebelum 31 Disember tahun ini.
“Saya menyeru orang ramai untuk mendapatkan skim pembiayaan ini di mana-mana cawangan BSN berhampiran bermula hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tour, Ida Riswana Idris berkata, dengan prinsip ‘Kini Sekeluarga Mampu Mengerjakan Umrah’ Andalusia tampil dengan kolaborasi bersama BSN dalam penawaran pakej pembiayaan umrah dan haji di bawah konsep ‘Murabah Tawarruq’ dengan bayaran bulanan serendah RM151 selama 36 bulan.
“Pakej pembiayaan ini membolehkan mereka yang layak di bawah syarak iaitu bawah hukum istito’ah untuk pergi umrah atau haji dengan cara pembayaran ansuran atau pembayaran tertangguh.
“Lebih meyakinkan lagi, semua pembiayaan pakej umrah dan haji disarankan untuk dilindungi Skim Takaful PruBSN bagi jaminan pelunasan penuh pembiayaan pakej umrah,” katanya.
Dalam pada itu, Ida Riswana memaklumkan, pemberian diskaun sebanyak RM200 turut diberikan kepada jemaah yang membuat pembiayaan serta mendapat kelulusan pinjaman daripada BSN sehingga hujung tahun ini.
Pada majlis berkenaan, perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Mujibburrahman dan Ida Riswana dengan disaksikan Ketua Jabatan Perbankan Runcit BSN, Norainah Mohamad Zakuan serta Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md. Daud Che Ngah.