PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) malam ini.
Mesyuarat yang melibatkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berlangsung pukul 8 malam ini, berdasarkan jemputan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini.
Antara yang terawal adalah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mana dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara pada pukul 10.39 pagi.
Seterusnya, dua lagi kenderaan jenis Lexus dan Toyota Vellfire dipercayai membawa Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memasuki Istana Negara pada pukul 10.43 pagi.
Kehadiran kesemua pemimpin itu bertujuan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menetapkan calon Perdana Menteri Ke-10. – KOSMO! ONLINE