PETALING JAYA – Maybank mencatat keuntungan bersih sebanyak RM2.17 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (S3TK22) dengan pertumbuhan 28.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, pendapatan berasaskan dana dan fi juga direkodkan lebih tinggi serta pengurangan 25.2 peratus tahun ke tahun dalam kerugian rosot nilai bersih telah meningkatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) Kumpulan sebanyak 41.4 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM3.21 bilion.
Pendapatan operasi bersih bagi suku tersebut meningkat sebanyak 20.6 peratus tahun ke tahun mencecah RM7.41 bilion.
“Ini didorong oleh pendapatan berasaskan fi bersih yang lebih tinggi sebanyak 48 peratus kepada RM2.12 bilion berbanding RM1.43 bilion setahun sebelumnya dan peningkatan 12.2 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM5.30 bilion daripada RM4.72 bilion,” katanya.
Selain itu, kos overhed meningkat kepada RM3.39 bilion daripada RM2.82 bilion setahun sebelumnya berikutan normalisasi aktiviti perniagaan, perbelanjaan pelarasan inflasi dan perbelanjaan IT yang lebih tinggi.
Nisbah kos kepada pendapatan Kumpulan bertambah baik sedikit kepada 45.8 peratus daripada 45.9 peratus setahun sebelumnya, kerana pertumbuhan pendapatan mengatasi pertumbuhan kos untuk S3TK22.
Sementara itu, kerugian rosot nilai bersih turun 25.2 peratus kepada RM0.84 bilion daripada RM1.13 bilion setahun sebelumnya berikutan peruntukan proaktif yang lebih tinggi dibuat tahun lepas disebabkan masalah makro ekonomi dan potensi kelemahan peminjam akibat sekatan pergerakan yang berpanjangan. -KOSMO! ONLINE