PETALING JAYA – Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM49.7 million bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (2Q23) berbanding RM50.4 juta bagi tempoh yang sama sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, keuntungan untuk tempoh enam bulan pula mencatat pertumbuhan 18.6 peratus kepada RM95.9 million berbanding RM80.9 juta tempoh yang sama sebelumnya.
Menurut beliau, margin PAT Kumpulan bagi separuh pertama tahun 2023 (1H23) itu bertambah sebanyak 22.4 peratus berbanding 21.1 peratus tempoh sebelumnya.
“Prestasi menggalakkan dalam margin PAT Kumpulan itu merupakan yang tertinggi di catat dalam industri hartanah sejak lima tahun lalu.
“Prestasi tersebut dipacu oleh jumlah pendapatan yang tinggi dengan kenaikan sebanyak 12.1 peratus kepada RM451.6 juta bagi tempoh 1H23 berbanding RM402.9 juta tempoh yang sama sebelumnya meskipun Kumpulan berdepan dengan cabaran berkaitan sumber buruh yang memberi impak kepada aktiviti pembinaan sejak 18 bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Kumpulan terus mencatat jualan baharu sebanyak RM661.9 juta pada 1H23, tumbuh 3.2 peratus daripada RM641.3 juta tempoh sebelumnya.
Ini disumbangkan oleh permintaan kukuh daripada projek kediaman premium mampu milik di projek pembangunan Sendayan.
“Kumpulan kini berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran jualan untuk setahun penuh sebagaimana jualan baharu yang dicatat pada 1H23 adalah sebanyak 55.2 peratus untuk memenuhi sasaran RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 March 2023,” ujarnya.
Tambah Mohamad Haslah, jumlah jualan belum dibil melonjak kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.1 juta tahun sebelumnya. -KOSMO! ONLINE