fbpx

Mahkamah: Larangan merokok di premis makanan kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan larangan merokok di semua premis makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan sejak 1 Januari 2019, munasabah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam sebulat suara berpuas hati tindakan merokok di tempat awam bukan hak asasi yang perlu dilindungi di bawah Perlembagaan.

Mahkamah berpendapat, larangan itu tidak mendiskriminasikan mana-mana pihak atau bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana ia terpakai kepada semua individu yang mengunjungi premis makanan.

Panel itu yang turut dianggotai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk M. Gunalan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Chong Fong memutuskan demikian selepas menolak rayuan tujuh individu.

Mahkamah tidak memerintahkan sebarang kos kerana kes itu melibatkan intepretasi undang-undang dan kepentingan awam.

Tujuh individu tersebut merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Oktober 2019 yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Kementerian Kesihatan melaksanakan larangan merokok di kedai makan.

Mereka ialah Mohd. Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Mohd. Laisani Dollah, 49, Mohd. Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Muhammad Noor, 56, Mohd. Yazid Mohd. Yunus, 51, dan Yuri Azhar Abdollah, 43.

Hakim Gunalan ketika membacakan penghakiman itu berkata, mahkamah tidak melihat bahawa larangan itu merupakan satu ketidakadilan kerana Kementerian Kesihatan telah mengambil kira faktor kepentingan awam seperti tahap kesihatan pengunjung dan pelanggan premis makanan.

Panel itu turut berpuas hati terhadap dapatan Mahkamah Tinggi bahawa kementerian telah mendapatkan maklum balas awam namun tiada bantahan diperolehi daripada orang ramai berhubung cadangan melaksanakan larangan merokok.

Sehubungan itu, mahkamah berpendapat hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta ketika menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh semua perayu.

“Tiada asas bagi panel ini untuk mengganggu atau campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Dengan ini rayuan ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” ujar Hakim Gunalan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI