GUA MUSANG – Sebuah keluarga di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini menjadikan seekor ular sawa batik sebagai haiwan peliharaan mereka sejak sembilan tahun lalu.
Kamarul Aiman Kamarudin, 25, berkata, keluarganya mula memelihara ular sawa yang diberi nama Miko itu ketika haiwan reptilia berkenaan baru sahaja menetas.
Katanya, selepas sembilan tahun, Miko kini semakin membesar apabila beratnya sudah mencecah 100 kilogram dan panjangnya lebih lima meter.
“Miko dibawa pulang ke rumah oleh bapa saudara selepas membelinya pada harga RM150 ketika itu.
“Sejak daripada ia kecil, kami mula sayangkan Miko dan menjaganya sepenuh kasih sayang,” katanya.
Menurut Kamarul Aiman, dia turut mendapat bantuan menjaga Miko daripada neneknya, Halimah Abdullah, 67, dan ibunya, Susilawati Mohd. Noor, 47.
Katanya, mereka menyediakan sangkar khas untuk menempatkan Miko di luar rumah dan hanya membawanya keluar jika orang ramai ingin melihatnya lebih dekat.
“Miko makan dua hingga tiga ekor ayam seberat enam kilogram yang diberi dua minggu sekali.
“Miko juga senang dijaga apabila kami membersihkannya ketika kotor dan sentiasa menjaga kebersihan kawasan tempat tinggalnya,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.-KOSMO! ONLINE