JAKARTA – Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi kuat menggegarkan rantau Cianjur, wilayah Jawa Barat kelmarin.
Bencana itu meragut 162 nyawa serta mencederakan ratusan yang lain dengan lebih ramai dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan.
Pusat gempa cetek berukuran 5.6 pada skala Richter itu terletak di bandar Cianjur di mana ramai mangsa terkorban akibat dihempap runtuhan bangunan dan tanah runtuh.
Operasi menyelamat menjadi sukar disebabkan jalan raya rosak selain bekalan elektrik terputus di banyak kawasan di Cianjur.
Semalam berpuluh-puluh anggota penyelamat menggunakan jentera berat di kampung Cugenang bagi membersihkan jalan ke Cianjur yang tertimbus akibat tanah runtuh.
Ketika beg-beg berisi mayat dibawa keluar dari bangunan yang runtuh, fokus tertumpu kepada mangsa-mangsa terselamat di sebalik runtuhan.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, sekurang-kurangnya 25 orang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan di Cianjur setakat malam kelmarin.
Tambah BNPB, lebih 2,000 kediaman musnah, manakala Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil berkata, lebih 13,000 orang dibawa ke pusat-pusat pemindahan.
Mereka yang terselamat berkhemah di kawasan luar bangunan dengan dikelilingi oleh sisa runtuhan konkrit.
Waris yang bersedih turut menanti di luar rumah mayat untuk mengebumikan mangsa, sementara sebilangan lagi mencari ahli keluarga masing-masing yang hilang dalam keadaan huru-hara.
Doktor-doktor turut merawat pesakit di wad rawatan sementara yang didirikan sejurus selepas gempa berlaku, yang mana gegarannya turut dirasai sehingga ke ibu kota, Jakarta. – AFP