SHAH ALAM – Sebanyak 98 buah kolam, tasik dan bekas lombong di Selangor akan digunakan bagi membantu menghadapi kemarau pada 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, ini meliputi 20 bekas lombong yang telah diwartakan melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selain telah mengenalpasti 78 kolam tambahan baru.
“Daripada keseluruhan itu, kerajaan negeri telah meluluskan 21 buah kolam dipilih untuk dinaik taraf dalam Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).
“Kolam-kolam yang dipilih ini dijangka mampu menyediakan tambahan bekalan air dengan ketahanan selama 2 bulan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang mengetahui pelan tindakan kerajaan negeri untuk menghadapi kemarau berpanjangan bermula tahun 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah itu menjelaskan kolam-kolam tersebut akan dinaiktaraf dengan infrastruktur tambahan dengan jangkaan kapasiti sekarang iaitu 14 juta meter padu kepada 21 juta meter padu.
Sementara itu, kata Izham sebanyak 127 kolam takungan banjir Jabatan Pengairan dan Pengaliran (JPS) sedia ada turut dinilai semula.
“Ini bagi melihat sama ada juga boleh bertindak dwifungsi iaitu sebagai takungan banjir dan sumber air alternatif ketika musim kemarau,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE