JOHOR BAHRU – Dua beradik menjadikan cabaran mengurus ibu mereka yang merupakan pesakit kanser payudara tahap tiga dan juga Covid-19 sebagai motivasi untuk menamatkan pengajian masing-masing dan bergelar mahasiswa.
Muhammad Faris Iqbal Zaidi, 30, dan adiknya, Nuraihanah Najihah, 23, bagaimanapun tekad untuk menamatkan pengajian masing-masing seperti yang dinasihatkan ibu mereka, Fatimah Ismail, 52.
Menurut Nuraihanah Najihah, keluarga mendapat tahu ibu mereka mempunyai kanser payudara selepas pemeriksaan kesihatan dibuat pada 2019.
“Saya dan abang melanjutkan pengajian pada 2018, namun tidak lama selepas itu kami dimaklumkan ibu menderita kanser, kemudian pada 2020 terjadi pandemik Covid-19, yang menyukarkan pembelajaran seperti biasa.
“Situasi itu amat mencabar buat saya, sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, saya banyak membantu urusan harian ibu, termasuklah menemani bagi menjalankan sesi kimoterapi dan juga radioterapi.
“Pada awalnya saya agak sedih juga, semangat untuk belajar pun kadangkala tidak menentu. Tetapi ibu selalu berpesan dan meyakinkan saya mampu habiskan pelajaran walaupun tahap kesihatan dia sudah berkurangan.
“Ibu kini tidak berupaya untuk berjalan terlalu lama, manakala tangan kanan juga sudah tidak sekuat dahulu jadi pergerakan agak terbatas, menyebabkan dia memerlukan bantuan untuk melakukan kerja-kerja berat.
“Selain itu, saya juga melihat kepayahan abang saya yang bekerja sambil belajar, hujung minggunya dihabiskan dengan melakukan ulang kaji, jadi perkara itu memberi motivasi tambahan kepada saya.
“Alhamdulillah, kini saya berjaya menggenggam segulung ijazah, lebih manis saya dapat menghadiri majlis konvokesyen sama-sama dengan abang saya,” katanya kepada pemberita selepas selesai menghadiri Majlis Konvokesyen ke-66 UTM, di sini semalam.
Tambah Nuraihanah Najihah lagi, walaupun berasa sukar pada awalnya untuk mendapatkan momentum bagi menyambung pengajian di peringkat tersebut dia kini bersemangat untuk melakar lebih banyak kejayaan.
“Selepas ini, saya bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan juga kedoktoran, insya-Allah,” jelasnya yang ceria ditemani seluruh ahli keluarganya.
Katanya, golongan pelajar perlu menjaga hubungan dengan ahli keluarga, khususnya kedua-dua ibu bapa mereka dalam membolehkan usaha meneruskan pembelajaran dengan sokongan dan dorongan.