PETALING JAYA – Media sosial hari ini dibanjiri titipan doa daripada selebriti tanah air selepas dikejutkan dengan berita pelakon Nad Zainal kini berada dalam keadaan kritikal di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat komplikasi paru-paru berdarah.
Ramai rakan selebriti yang pernah bekerjasama dengan Nad, 32, terkejut dengan perkhabaran tersebut dan bersedih dengan situasi yang menimpa aktres itu.
Rakan artis seperti Noorkhiriah menerusi perkongsian dalam Instagram memohon semua agar terus mendoakan Nad dan berdoa agar Tuhan mengangkat segala sakit yang ditanggungnya.
“Kakak tahu kau kuat adik. Kalian jom selitkan doa buat Nad semoga ada kesembuhan buatnya,” tulis pelakon itu sambil berkongsi gambar bersama Nad ketika mereka terlibat dalam penggambaran telefilem Matahari Tak Bercahaya.
Noorkhiriah dalam perkongsian lain menganggap apa yang sedang dilalui Nad adalah ujian daripada Allah selepas ibu anak itu mula berhijab baru-baru ini.
Dia turut meluahkan rasa terharu dengan satu artikel berita tentang Nad yang menjadikan dirinya sebagai contoh dalam soal penghijrahan.
“Nad nanti dah sihat, banyak benda kakak nak kongsi. Kakak tak sempat nak kongsi apa pun sebab semua berlaku secara tiba-tiba.
“Nad pakai tudung tiba-tiba, bila Allah nak bagi hidayah. Nad sakit macam ini pun tiba-tiba. Nad rajin kongsi dalam Instagram, tiba-tiba senyap. Rupa-rupanya Nad bertarung nyawa,” katanya.
Sementara itu, aktres Fasha Sandha mengharapkan Nad kuat demi anak-anak dan orang tercinta.
Dia yang sama-sama berlakon dengan Nad dalam drama hit Dendam Seorang Isteri (DSI) dilihat hadir ke hospital melawat pelakon itu sebentar tadi.
“Kirana (watak Nad dalam DSI) sayang. Naddy sayang. Saya tahu awak kuat! Kuat untuk anak-anak, kuat untuk semua.
“Cepat bangun. Kami tunggu. Tunggu kejap saya sampai. Kesayanganku, jom sama-sama kita doakan agar Farah Nadia sahabat kami semua cepat sedar,” tulis Fasha dalam satu hantaran Instagram.
Pelakon Nazim Othman dalam pada itu berkata, dia tergerak hati untuk melawat Nad di hospital tetapi sumber terdekatnya memaklumkan bahawa aktres itu masih kritikal dan paru-parunya juga lemah.
“Mohon doakan Nad dikurniakan kesembuhan. Tergerak hati nak melawat kat hospital tadi tapi sumber terdekat kata dia masih kritikal dalam ICU.
“Sayu hati ini dengar keadaan paru-paru dia lemah. Kita tolong doakan sama-sama ya?” pinta Nazim.
Selain itu, rakan pelakon lain turut sama mendoakan agar Nad diberi kesembuhan dan dapat kembali ke pangkuan anak-anaknya dalam keadaan sihat.
“Ya Allah, sembuhkanlah sahabatku. Hapuskanlah sakitnya. Kau orang kuat Nad. Lekas sembuh, anak-anak perlukan kau,” kata Uyaina Arshad dalam InstaStory.
Semalam, Nad dimasukkan ke hospital selepas dua hari mengalami masalah kesihatan yang dipercayai akibat simptom Long Covid.
Dia kemudian terpaksa ditidurkan selama dua hari selepas dimasukkan ke ICU susulan mengalami paru-paru berdarah.
Pelakon itu pernah dijangkiti Covid-19 pada 13 Mac lalu, namun tidak mengalami sebarang gejala teruk. – KOSMO! ONLINE