fbpx

Belum nampak bayang siapa PM ke-10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada sidang akhbar selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.

KUALA LUMPUR – Harapan lebih 32 juta rakyat Malaysia untuk melihat pembentukan kerajaan baharu selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu masih belum menjadi kenyataan.

Sehingga semalam, tiada satupun gabungan parti politik yang diumumkan mencapai majoriti mudah.

Susulan itu, Istana Negara te­lah memanggil Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, sesi menghadap yang bermula pukul 4.30 petang itu belum menyelesaikan kepada kemelut pembentukan kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenya­taan berkata, Seri Paduka Baginda menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca PRU15 bagi pembentukan kerajaan baharu.

“Memandang tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah, maka Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan PH dan PN menghadap pada pukul 4.30 petang di Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya dalam satu ke­nyataan Istana Negara semalam.

Sementara itu, Anwar pada sidang akhbar memaklumkan, jawatan Perdana Menteri sehingga kini (semalam) masih lagi kosong dan tiada sebarang lantikan dibuat.

Katanya, semua pihak perlu ada kerjasama dalam membentuk sebuah kerajaan yang memberi fokus dan keutamaan terhadap kebajikan rakyat.

“Perlu ada pakatan, kerjasama semua pihak supaya kerajaan dapat ditubuh dan menjaga kepen­tingan rakyat secara keseluruhan.

“Insya-Allah kerajaan yang bakal ditubuh nanti haruslah mewakili semua pihak, semua kaum, semua wilayah,” katanya.

Anwar turut menafikan dakwaan kononnya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Sementara.

“Tiada Perdana Menteri lagi, jawatan PM masih kosong dan dibuka untuk permohonan,” jelasnya.

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan gabungannya mendapat sokongan lebih 112 Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Katanya, dokumen sokongan itu telah diserahkan kepada Istana Negara sebelum Yang di-Pertuan Agong menitahkan beliau ke Istana Negara semalam.

“Tuanku mencadangkan kami (PN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan, tetapi kami telah membincangkan perkara itu sejak awal dan tak akan bekerjasama dengan PH,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI