PETALING JAYA – Tidak terkecuali berasa bimbang, bekas suami Nad Zainal, Faliq Amiruddin memohon doa baik-baik orang ramai terhadap pelakon itu yang kini sedang berjuang akibat komplikasi paru-paru berdarah.
“Kita minta doakan yang baik-baik untuk Nad Zainal,” ujar Faliq ringkas.
Nad kini dilaporkan kritikal dan dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU)di Hospital Pakar Ampang Puteri sejak Isnin lalu.
Faliq juga meminta diberikan ruang buat dirinya dan keluarga sepanjang berhadapan dengan ujian tersebut.
“Maaf, saya sedang serabut dengan banyak perkara sekarang. Kami mohon orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat Nad.
“Beri ruang untuk saya dan keluarga untuk mendepani ujian ini dengan cekal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Pada masa sama, dia juga memaklumkan dua anaknya iaitu Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, setahun kini berada bawah jagaannya.
“Anak-anak semua ada dengan saya sekarang ini. Maaf saya tak boleh beri komen panjang,” ujarnya.
Hari ini, industri hiburan dikejutkan dengan perkongsian aktor, Ungku Ismail yang memberitahu Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin berada dalam kritikal.
Pelakon drama Cina Buta itu terpaksa ditidurkan selama dua hari selepas dimasukkan ke ICU susulan mengalami paru-paru berdarah.
Semalam, Nad, 32, dilaporkan menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas dua hari mengalami masalah kesihatan yang dipercayai akibat simptom Long Covid.
Difahamkan, Nad pernah dijangkiti Covid-19 pada 13 Mac lalu, namun tidak mengalami sebarang gejala teruk.
Sementara sekitar April lalu, dia yang popular menerusi drama Takdir Yang Tertulis mendedahkan mengalami batuk berkahak akibat pasca Covid-19 sehingga menyukarkannya untuk bekerja.
Sebagai info, Nad pada 3 September lalu mengesahkan sudah bercerai dengan Faliq selepas tujuh tahun berumah tangga.
Tidak lama kemudian, dia meraih perhatian ramai apabila muncul dengan imej bertudung dan mengakui sedang belajar untuk terus kekal dengan penampilan tersebut. – KOSMO! ONLINE