KUALA LUMPUR – Penyanyi Atilia Haron mendedahkan, dia sepatutnya bertemu bapa tiri, Gerry Hughes buat pertama kali ketika majlis pernikahan ibunya, Salamiah Hasan pada 1 September lalu.
Bagaimanapun, dia tidak sempat berbuat demikian selepas Allahyarham Gerry menghembuskan nafas terakhir pada 4 November lalu kerana permohonan visa yang tidak diluluskan.
“Sebelum ini kami hanya berkomunikasi menerusi panggilan video dan belum berpeluang bersemuka kerana jarak. Memang sudah rancang mahu sama-sama memeriahkan majlis pernikahan mereka.
“Tak sangka pula permohonan visa Australia lebih rumit selepas fasa pandemik selain mengambil masa sebulan untuk dapat kelulusan. Permohonan pertama tak lulus, jadi saya terlepas hari nikah,” katanya.
Cerita penyanyi lagu Sandaranku itu, selepas masalah visa selesai, dia berjaya menempah tiket penerbangan ke Tasmania, Australia pada pertengahan bulan ini tetapi tidak menyangka, pemergiannya ke negara tersebut menjadi pertemuan pertama dan terakhir bersama Gerry.
“Biarpun hanya mengenalinya menerusi panggilan video, Allahyarham seorang lelaki yang baik, penyayang dan sangat mengambil berat terutama terhadap ibu saya.
“Sifat yang ada padanya itu yang saya pasti membuka pintu hati mama untuk hidup berumah tangga semula selepas 35 tahun sendirian,” katanya.
Pemilik nama sebenar Raja Putri Atilia Raja Haron yang baru pulang dari Tasmania menemani Salamiah berkata, buat masa ini ibunya menghabiskan masa di sana supaya lebih dekat dengan pusara suami.
Begitupun, Salamiah akan tetap pulang ke Kuala Lumpur bagi memenuhi undangan persembahan selain memperuntukkan masa dengan ahli keluarga di sini.
“Alhamdulillah, mama seorang individu yang positif serta reda berdepan ketentuan Allah. Cuma dia mahu tinggal di sana dulu buat sementara waktu dan tetap akan balik sesekali jika ada keperluan.
“Kami juga reda. Pemergian Gerry adalah kehilangan besar. Meskipun hanya sempat mengecap kemanisan hidup berdua selama dua bulan, tetap meninggalkan impak besar dalam kehidupan mama.
“Sudah ditakdirkan Gerry meninggal dunia sebagai umat Islam malah arwah juga ‘pergi’ pada penghulu segala hari iaitu Jumaat,” katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Festival KL River Jazz 2022, semalam.
Sementara itu menceritakan lanjut, penyanyi jazz itu mendedahkan ibunya seorang yang perahsia dan hanya memaklumkan tentang perkahwinannya dengan Gerry pada sambutan Syawal lalu.
Salamiah yang terkenal menerusi lagu Menghitung Hari itu juga pandai menyembunyikan percintaan dengan Gerry yang berasal dari Liverpool.
“Mama selalu ‘turun’ ke Melbourne. Saya sangka dia cuma berjumpa anak buahnya tinggal di sana, tetapi pada masa sama dia berjumpa Gerry. Mungkin orang yang tahu mengenai hubungan mereka cuma pengurusnya saja.
“Apabila mama maklumkan mahu berkahwin, sayalah orang paling gembira. Barangkali sebelum itu dia enggan kecoh hingga semuanya sudah pasti,” kongsi penyanyi berusia 45 tahun itu.
Menyingkap detik pemergian Gerry atau Gerald Hughes, 68, Atilia berkata, ibunya memaklumkan mengenainya ketika dia baru pulang dari makan roti canai pada tengah malam 4 November lalu.
Kata Atilia, arwah memang menghidap kanser tahap tiga namun keadaan kesihatannya masih seperti biasa biarpun ketika itu dia baru selesai menjalani rawatan radioterapi.
“Alhamdulillah mama dapat menatap wajah Gerry sebelum dikebumikan. Mama terus cari tiket penerbangan ke Australia dan syukur dia sempat tiba menyempurnakan urusan pengebumian,” katanya. – KOSMO! ONLINE