fbpx

Angka kematian gempa bumi Jawa Barat meningkat kepada 268 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

JAKARTA – Angka kematian akibat gempa bumi kuat di Jawa Barat, Indonesia meningkat kepada 268 orang dengan lebih 150 mangsa dilaporkan masih hilang, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.

Menurut pihak berkuasa, gempa bumi yang menggegar rantau Cianjur kelmarin, ketika ramai kanak-kanak berada di sekolah mengakibatkan sebilangan besar pelajar terkorban ketika menghadiri kelas.

Tanah runtuh yang mengiringi gempa cetek berukuran 5.6 pada skala Richter itu turut mengumbang kepada angka korban.

Selepas gempa bumi utama, sekurang-kurangnya 118 gegaran susulan direkodkan dengan kekuatan antara 1.5 hingga 4.2 pada skala Richter.

Tanah runtuh berlumpur dan kerosakan lain akibat gegaran telah menyekat beberapa jalan utama dan menyebabkan talian elektrik terputus, yang memperlahankan usaha menyelamat.

Pegawai dari Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, sekurang-kurangnya 13 sekolah telah terjejas.

Beliau memaklumkan bahawa anggota penyelamat memerlukan bekalan kecemasan seperti terpal, khemah, ubat-ubatan dan air minuman.

“Kami sedang menanti hospital di Cianjur untuk menghantar data yang mereka ada mengenai jantina dan umur mangsa,” kata Muhari.

Menurut pegawai, tanah runtuh di kawasan pergunungan di mana gempa itu berlaku telah menimbus seluruh kampung berhampiran bandar Cianjur.

Lebih 1,000 orang cedera dan lebih 22,000 rumah rosak. Menurut pegawai, lebih 58,000 penduduk terpaksa mencari tempat perlindungan di banyak lokasi kerana hilang tempat tinggal.

Cianjur adalah kawasan padat penduduk dengan populasi 2.2 juta orang dan terletak kurang 80 kilometer dari ibu kota Indonesia, Jakarta. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI