BANGKOK – Seorang lelaki di Pulau Phuket didakwa membunuh bapanya selepas berbalah mengenai wang untuk membeli rokok baru-baru ini, lapor portal berita Thaiger.
Arnon Kammanochart, 26, mengelar leher Uthai Kammanochart, 51, di daerah Thalang pada Isnin lalu dengan mendakwa dia mempertahankan diri ketika bergelut dengan bapanya sebelum bertindak membunuhnya.
Lelaki itu memberitahu polis Thalang bahawa Uthai memintanya membeli rokok menyebabkan pemuda berkenaan pergi ke rumah neneknya untuk mendapatkan wang.
Namun, neneknya enggan memberikan duit lalu dia pulang ke rumah.
Selepas pulang ke rumah, Arnon memberitahu mangsa neneknya enggan memberikan wang kepadanyaa.
Ekoran itu, mangsa berang lalu menendang muka suspek. Suspek kemudian mengambil sebilah pisau untuk mempertahankan diri sebelum mengelar leher dan membunuh mangsa.
Beberapa anggota polis tiba di lokasi tersebut sebelum suspek menyerah diri.
Mereka turut menemui mayat mangsa di atas katil di belakang rumah dengan kesan luka di leher dan mukanya.
Namun, tiada saksi dapat mengesahkan kejadian itu kerana hanya mereka berdua tinggal di rumah berkenaan. – Agensi