fbpx

Warga emas didenda RM30,000 abai anjing peliharaan hingga mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yuh Ma (tengah) dan Roziman (kiri) di Mahkamah Sesyen, George Town di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang warga emas dikenakan hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati mengabaikan empat ekor anjing peliharaan sehingga menyebabkan seekor daripadanya mati dua tahun lalu.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Ho Yuh Ma, 63, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku orang kena saman (OKS) didapati secara tidak munasabah meninggalkan empat ekor anjing tanpa jagaan, makanan dan minuman hingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya sehingga salah seekornya mati di tempat kejadian.

Yuh Ma didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Jalan Sam Ah Chow, Tanjung Bungah di sini pada 17 Julai 2020.

OKS yang bekerja sendiri dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Sesyen 29(1)(e)Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Roziman Awang Tahrin dan Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Baldev Singh Bhar.

Dalam prosiding, Roziman memohon mahkamah mengambil kira sensitiviti kes tersebut yang telah menyebabkan kematian seekor anjing selain menetapkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap OKS supaya perkara sama tidak berulang.

Menurutnya lagi, hukuman tersebut juga dapat memberi mesej kepada masyarakat supaya tidak mengabaikan kebajikan haiwan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda sebanyak RM30,000 dan lapan bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda ditetapkan.

Bagaimanapun, Kosmo! difahamkan yang tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI