fbpx

TNB sudah siap sedia hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Nazmy (kanan) mendengar penerangan mengenai persiapan TNB sepanjang musim tengkujuh di Pahang.

PETALING JAYA – Semua perkhidmatan teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah bersiap siaga dengan persiapan yang menyeluruh bagi menghadapi musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, ia termasuk membuat penambahbaikan kepada beberapa infrastruktur kritikal miliknya yang terletak di kawasan berpotensi ditenggelami air banjir.

Menurutnya, kesemua empangan hidroelektrik TNB juga telah dipastikan berada dalam keadaan baik untuk terus berfungsi sebagai tebatan banjir dan antaranya dengan mengurangkan paras air empangan secara berperingkat mulai Julai lalu.

“TNB telah memasang tembok penahan sistem perparitan di Pencawang Masuk Utama (PMU) dan meninggikan aras platform peralatannya, manakala set-set janakuasa bergerak serta janakuasa mudah alih serta perkakas kritikal seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah ditempatkan di lokasi-lokasi strategik.

“Langkah-langkah lain adalah mengubah lokasi dan meningkatkan ketinggian menara penghantaran untuk memastikan tiada risiko menara tumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, bilik gerakan TNB di negeri yang terbabit banjir akan diaktifkan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.

“Sekali lagi kami ingin menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air.

“Jika ada pencawang elektrik ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI