fbpx

Sukuk KPJ Healthcare dapat penarafan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Rangka Kerja Sukuk Kemampanannya (SSF) KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melalui anak syarikat milik penuhnya, Point Zone (M) Sdn. Bhd. (PZSB), te­lah mendapat penarafan emas oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).

Pegawai Pimpinan merangkap Ketua Pegawai Kewangan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata, penarafan ini adalah bukti gabungan projek hijau dan sosial yang sangat berkesan yang akan dijana da­ripada hasil diperoleh melalui terbitan rangka kerja sukuk.

Menurutnya, prestasi kemampanan syarikat diiktiraf sebagai pemberi jaminan yang cukup tinggi terhadap kapasiti dan prestasi pelaksa­naan ke­lestarian, terutamanya berkaitan pengurusan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi projek dan aktiviti yang berkelayakan.

Pada awal tahun ini, terbitan sukuk berjumlah RM3 bilion telah diumumkan untuk membiayai keperluan pengemba­ngan dan modal kerja syarikat.

Ia menyaksikan permintaan yang menggalakkan dalam program wakalah Sukuk berikutan peningkatan kepada RM650 juta daripada saiz awal RM500 juta, selepas sambutan dan permintaan positif daripada pelabur berkualiti tinggi.

“Pengiktirafan ini merupakan penanda aras keyakinan pasaran terhadap strategi perniagaan, yang mana kami terus meletakkan amalan kemampanan dan ESG di segenap perniagaan kami, termasuk strategi pembiayaan projek kami.

“Kami percaya, pengiktirafan ini akan mewujudkan nilai yang lebih besar dalam jangka masa panjang untuk semua pemegang berkepentingan.

“Justeru, ia telah meletakkan kami berada di landasan yang betul dalam menyampaikan perkhidmatan penja­gaan kesihatan yang berkualiti dan mampan,” katanya dalam ­kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Tambah Norhaizam, rangka kerja ini akan memudahkan KPJ Healthcare mengurangkan peralihan, risiko kemampanan jangka panjang dan memanfaatkan peluang yang berpotensi tinggi dalam memajukan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ini dalam menangani isu-isu khusus masyarakat termasuk akses kepada penjagaan kesihatan dan memperkasakan masyarakat kurang berkemampuan serta perusahaan kecil dan sederhana,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI