ATLET karate negara, C. Shahmalarani mencipta sejarah tersendiri apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia dalam siri kejohanan Karate1 (K1) Series A.
Shahmalarani, 24, meraih kejayaan itu selepas menewaskan atlet tuan rumah, Annisa Nur Anggraini 5-2 pada final kumite bawah 50 kilogram (kg) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia kelmarin.
“Ini adalah pingat emas pertama Malaysia dalam penampilan pertama saya di K1 Series A. Ia cukup bermakna dan paling bermakna buat saya sepanjang tahun ini.
“Ia bukan mudah kerana saya perlu mengharungi pertarungan yang sukar pada kejohanan yang disertai 42 peserta dari seluruh dunia untuk memperbaiki ranking dunia masing-masing.
“Saya berterima kasih kerana semua pihak yang mempercayai kemampuan saya. Pingat ini amat bermakna dalam perjalanan karate saya, namun saya tidak akan cepat berpuas hati dan terus berusaha,” katanya.
Selain Shahmalarani, skuad karate negara juga cemerlang apabila meraih pingat gangsa dalam kategori kata berpasukan wanita pada saingan di Indonesia itu.
Musim 2022 sememangnya tahun gemilang buat Shahmalarani apabila membuat debut di pentas antarabangsa dengan pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam.
Sejak itu, Shahmalarani tidak menoleh ke belakang lagi apabila terus memenangi pelbagai kejuaraan termasuk Sukan Universiti ASEAN 2022, Terbuka Finland dan kini K1 Serie A Indonesia.
Penuntut Sarjana Sains Aktuari di Universiti Sunway itu mempunyai satu lagi kejohanan penting sebelum menutup tirai tahun ini iaitu Kejohanan Karate Asia di Uzbekistan bulan depan.