KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) lebih baik berperanan sebagai pembangkang jika masih tiada kata putus dibuat.
Katanya, pendiriannya kini masih jelas iaitu tidak akan berkompromi untuk sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Terdapat banyak spekulasi ketika ini tentang apa yang sedang berlaku. Dalam apa jua formula atau rundingan, pendirian saya jelas dan tidak akan saya kompromi.
“Sekiranya masih tiada persefahaman dan kata putus, adalah lebih baik BN berperanan sebagai pembangkang dan saya bersedia untuk itu,” katanya menerusi Facebook.
Tambahnya, beliau akan tetap teguh bersama UMNO walau apa pun yang bakal berlaku.
“Apa jua yang terjadi, saya akan tetap setia bersama UMNO dulu, kini dan selamanya serta akan bekerja keras demi memulihkan UMNO dan BN bersama rakan-rakan yang lain,” katanya.
Ketika ini, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN melibatkan barisan pimpinan utama kini masih sedang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Seperti laporan Kosmo! Online sebelumnya, difahamkan pertemuan tersebut adalah bagi menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan kepada Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.
Semalam dilaporkan, Hishammuddin tetap menolak kerjasama dengan PH.
Malah katanya, beliau rela dipecat daripada terpaksa menerima sebarang kerjasama dengan parti tersebut. – KOSMO! ONLINE