fbpx

Semangat Eain Yow membara menjelang Terbuka Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EAIN YOW (kiri) hadir pada sidang akhbar menjelang saingan Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur semalam.

SEMANGAT pemain skuasy lelaki No. 1 negara, Ng Eain Yow makin membara selepas melangkah ke suku akhir pada Terbuka Singapura minggu lalu yang me­rupakan kejohanan bertaraf ‘Gold’ dalam Jelajah Dunia PSA.

Dia yang berada di ranking ke-24 dunia berharap mampu mengekalkan aksi konsisten menjelang pusingan pertama Terbuka Malaysia menentang wakil Argentina, Leandro Romiglio di Pusat Skuasy Nasio­nal, Bukit Jalil hari ini.

Sekiranya dapat melepasi halangan pertama, Eain Yow dijangka berdepan cabaran lebih sukar apabila bakal bertemu pemain No. 11 dunia dari Wales, Joel Makin di pusingan kedua.

Untuk rekod, Makin merupakan pemain yang menyingkirkan Eain Yow pada Terbuka Singapura lalu meskipun mencipta kejutan menewaskan pemain No. 2 dunia, Paul Coll dari New Zealand pada aksi terdahulu.

“Secara keseluruhan, prestasi saya di Singapura minggu lalu sangat baik terutamanya dapat mengatasi Saurav Ghosal dari India dan Coll. Bagaimanapun, saya tidak mahu dibuai dengan kemenangan tersebut.

“Kalau boleh, saya mahu kalahkan setiap lawan dan teruskan prestasi tersebut. Saya juga berharap dapat mengeluarkan aksi terbaik sepanjang saingan minggu ini,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasio­nal semalam.

Eain Yow turut mendedahkan, dia sudah memiliki idea dan strategi tersendiri sekiranya dijadualkan bertemu Makin sekali lagi pada Terbuka Malaysia, seterusnya mara lebih jauh.

“Jika dapat melepasi pusingan pertama, saya akan jumpa Joel Makin lagi. Tahun ini sahaja sudah empat kali kami bertemu dan perlawanan sentiasa sengit. Minggu lepas saya tewas kerana faktor kepenatan.

“Jika kami bertemu sekali lagi pada Terbuka Malaysia, saya sudah bersedia kerana ada idea dan taktikal permainan baharu untuk berdepan dengannya. Saya akan cuba tampilkan aksi terbaik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI