fbpx

Saksi 3 kematian, mental Mafarikha hampir ‘koyak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPANJANG sebulan dirawat di hospital akibat Covid-19 tahap lima, pelbagai pengalaman dilalui Mafarikha antaranya menyaksikan tiga kematian pesakit kritikal.

PETALING JAYA – Menyaksikan kematian tiga pesakit kritikal di depan mata sendiri antara pengalaman ngeri dilalui penyanyi Mafarikha Akhir sepanjang sebulan ditempatkan di sebuah hospital akibat Covid-19 tahap lima.

Akuinya yang turut ditebuk pada tulang rusuk kanan berikutan paru-paru tidak stabil, situasi dilalui membuatkan mentalnya hampir terjejas namun dapat dikawal supaya kekal tenang.

“Sejak 24 Oktober, tiga pesakit kritikal meninggal dunia di sebelah saya. Untuk kekal waras di hospital bukan mudah tapi hidup mesti diteruskan.

“Saya telah melihat banyak (perkara) sepanjang 29 hari ini, seperti pesakit yang jantungnya berhenti selama enam minit dan hidup semula tetapi mati beberapa jam kemudian.

“Lagi lama dekat sini, saya fikir mungkin bertukar jadi doktor atau jururawat,” luah penyanyi Angin itu menerusi hantaran dalam InstaStory.

SEBULAN di wad pemantauan, Mafarikha Akhir sudah dipindahkan ke wad biasa selepas menunjukkan perkembangan positif.

Wanita berusia 29 tahun yang selesa disapa Mafa itu tidak ketinggalan berkongsi momen yang dirasakan lucu apabila jururawat memintanya mengira angka satu hingga 10.

Pada masa sama, dia turut berkongsi beberapa adab ketika melawat pesakit yang ditidurkan atau separuh sedar sebagai ingatan kepada semua.

“Pelawat jangan meraung atau menangis sekuat-kuatnya ketika melawat pesakit. Jangan cuba kejut pesakit kerana mereka ditidurkan secara sengaja dan bukan tidur sendiri.

“Cuba buat mereka rasa tenang sebab pesakit boleh mendengar. Selain itu, bercakap dengan nada perlahan dan tenang. Jangan baca ayat kuat-kuat atau meraung.

“Jaga adab. Cakap kepada pesakit bahawa mereka akan hidup lebih lama lagi dan semua orang sedang menunggu mereka bangun. Jadi, pesakit secara tidak langsung akan berjuang untuk terus hidup,” katanya.

Penyanyi itu dimasukkan ke hospital di Kajang hujung bulan lalu sejurus tiba di Malaysia selepas pulang dari bulan madu bersama suaminya, Muhammad Zariq Noorulyusaa di Istanbul, Turkiye.

Ketika ini, genap 30 hari dia ‘berkampung’ di wad pemantauan sebelum dipindahkan ke wad biasa selepas menunjukkan perkembangan positif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI