fbpx

Piala Malaysia: Selangor lolos ke final, bertemu JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan Selangor berjaya menahan asakan Terengganu untuk mara ke final buat kali pertama dalam tempoh enam tahun. - Foto oleh PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA NERUS: Beraksi dengan 10 pemain menuju ke penghujung permainan, diasak habis-habisan oleh Terengganu FC, Selangor bagaimanapun berjaya melangkah ke final Piala Malaysia 2022 biarpun kalah 1-0 dalam separuh akhir kedua, sebentar tadi.

Kemenangan 3-1 yang dilakar di Petaling Jaya, Rabu lalu membolehkan Red Giants mara ke final secara agregat 3-2, sekali gus bakal membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ini adalah perlawanan akhir pertama Selangor dalam tempoh enam tahun, sekali gus meletakkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe di landasan untuk memburu kejuaraan ke-34.

Seperti dijangka, tuan rumah melancarkan serangan sejak awal permainan untuk mencari gol dan memperoleh peluang terbaik melalui voli Kipre Tchetche pada minit ke-12, namu bola sedikit tinggi melepasi sasaran.

Kegagalan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim membaca hantaran Brendan Gan nyaris dihukum Selangor mujur tandukan Nor Hakim Hassan tersasar ketika pintu gol sudah terbuka pada minit ke-21.

Usaha TFC kemudian membuahkan hasil setelah pada minit ke-35, Tchetche menyambar umpanan leret Faisal dari sebelah kiri sekaligus mengurangkan kelebihan Selangor.

Jaringan itu menaikkan moral Sang Penyu dengan Faisal sekali lagi mengancam kubu Selangor namun rembatan kencangnya seminit berselang ditepis Khairulazhan Mohd. Khalid.

Bersambung babak kedua, suasana digamatkan sorakan 33,350 penyokong setelah Tchetche menyudahkan gerakan Petrus Shitembi namun gol itu dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-56.

TFC terus kempunan untuk mengikat kedudukan agregat setelah usaha Manuel Ott (m-63) disusuli rembatan deras Arif Fadzilah Abu Bakar (m-65) sekadar menggegar jaring tepi gol.

Kelekaan benteng Sang Penyu hampir diperangkap Brendan Gan pada minit ke-67 mujur tolakan pemain kebangsaan itu hasil hantaran Mukhairi Ajmal Mahadi meleret ke sebelah tepi.

Skuad Gergasi Merah dicemaskan layangan kad kuning kedua ke atas pertahanan import, Yazan Al-Arab pada minit ke-87 sebelum pengadil memberikan tujuh minit masa tambahan.

Kelebihan itu gagal dimanfaatkan TFC, sebaliknya Selangor terus gagah mempertahankan agregat 3-2 sehingga wisel penamat sekaligus mara ke final buat kali pertama sejak 2016. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI